KELAS IQRA DAN FARDHU AIN

KELAS IQRA DAN FARDHU AIN

Tuesday, March 9, 2021

BUKAN MUDAH MENUBUHKAN SEBUAH MADRASAH

Alhamdulillah, selepas memeluk agama Islam cita-cita saya ingin membuka sebuah Madrasah/Tahfiz di bumi Sabah, untuk menyuburkan dakwah khususnya dalam bidang pendidikan. 

Selepas saya menamatkan pengajian sekular sehingga ke tingkatan enam atas, saya sanggup menolak tawaran untuk belajar di universiti, kerana ingin mendalami pengajian agama di sekolah Pondok. Keputusan yang saya ambil ketika itu, ramai orang yang tidak bersetuju. Ada yang bertanya belajar di pondok ada sijil tak, selepas itu apa peluang pekerjaannya, tidak sesatkah belajar di pondok. Bahkan ada yang menghina saya kerana keputusannyang tidak popular saya ambil.

Kata-kata yang melemahkan semangat saya untuk belajar di pondok, saya tidak endahkan. Sebagai seorang saudara baru ketika itu, belajar agama adalah pilihan yang terbaik dalam memahami erti kenapa saya memeluk agama Islam. Saya tidak mahu sekadar beragama Islam pada Kad Pengenalan tetapi tidak tahu apa ajaran Islam yang sebenar.

Alhamdulillah, saya berjaya mengharungi pengajian di pondok selama tiga tahun, dengan penuh cabaran. Saya masih ingat belanja bulanan saya hanya RM 50.00 sahaja. Saya hanya mengharapkan sumbangan daripada orang ramai dan juga upah yang diberikan ketika dipanggil solat jenazah. Ketika di jemput ke kenduri itulah masa untuk makan makanan yang sedap. Kerana di pondok, nasi berlaukan kicap, telur, makan dengan budu dan juga petai. Oleh itu, jemputan kenduri dariapada orang-orang kampung sentiasa ditungu-tunggu.

Tamat belajar di pondok, saya menyambung pengajian di Selangor untuk belajar bahasa Arab, untuk persediaan belajar ke Mesir. Berpeluang bermusafir di bumi Mesir adalah satu nikmat yang mahal harganya. Disanalah saya didedahkan dengan pusat pengajian agama yang sebenar. Mengenali ulama, membaca buku-buku ulama, menziarahi makan ulama silam yang hebat.

Ketika di sana yang saya tahu bas daripada rumah ke tempat kuliah dan bertalaqi. Saya tidak berpeluang untuk melancong kerana saya ke sana diatas sumbangan orang ramai oleh itu, saya harus menggunakan duit tersebut hanya untuk belajar sahaja. 

Seusai balik ke Malaysia, saya berkesempatan untuk belajar di Indonesia walaupun tidak lama. Di sana saya pernah belajar dengan Ustaz Abdul Somad, ketika saya di sem pertama dalam jurusan Tafsir Hadis. 

LANGKAH DAKWAH

Saya memulakan dakwah selepas memeluk agama Islam. Bermula dengan mengikuti jemaah Tabligh sehinggalah saya mendapat jemputan untuk menyampaikan ceramah di seluruh negara. Bagi yang pernah mendengar atau mengikuti perkembangan dakwah saya, mereka akan kenal siapa saya.

Setelah hampir 10 tahun tinggal di Semenanjung saya kembali ke Sabah, untuk memulakan dakwah yang lama saya tinggalkan. Di sini saya menjalankan dakwah melalui pendidikan.

Saya masuk ke kampung-kampung pedalaman yang tidak ada ustaz-ustaz yang masuk untuk mengajar. Saya sanggup masuk ke kampung tersebut untuk membuka kelas pengajian Iqra dan Fardhu Ain. 

Dakwah tersebut berjalan hampir enam tahun, sehinggalah tahun 2020 saya bertekad membuka sebuah pusat pengajian yang dinamakan IKHWAN DAKWAH CENTER (IDC). Pusat pengajian ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada anak-anak yang kurang berkemampuan belajar di tempat yang jauh, saudara baru mahupun dikalangan warga emas. 

Membuka pusat pengajian ini bukanlah suatu yang mudah, pelbagai halangan yang saya hadapi. Memang dalam perkara kebaikan ramai orang yang hanya melihat dari jauh, tetapi juga suka melemahkan semangat dalam membangunkan sekolah ini. 


No comments:

Post a Comment